Home Buletin Semasa POKOK TUMBANG, SEORANG MAUT, 9 CEDERA

POKOK TUMBANG, SEORANG MAUT, 9 CEDERA

143
0

Georgetown: Kejadian pokok tumbang di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi menyebabkan seorang penunggang motosikal maut, manakala sembilan individu lain cedera.

Dalam kejadian itu, pokok terbabit dikatakan menghempap dua kereta dan tiga motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.26 pagi.

Katanya, seramai 18 anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati sebatang pokok menghempap beberapa kenderaan dan ia membabitkan 10 mangsa.

“Anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, ” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut A’azelan berkata, seorang penunggang motosikal didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi lelaki masing-masing mengalami patah kaki.

Beliau berkata, mangsa yang lain turut cedera.

“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Menurut A’azelan, pasukan penyelamat bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut melakukan kerja pembersihan di lokasi selepas kejadian dan operasi tamat pada 5.58 pagi.

Sumber HMetro Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here