Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pahang Rangers FC memasang misi memburu kemenangan ke atas Selangor FC pada sirkit keenam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.
Ketua pasukan, Akmarulnizam Mohd Idris berkata, meskipun Selangor FC memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, beliau yakin Pahang Rangers mampu mencipta kejutan menerusi semangat juang tinggi serta kesungguhan barisan pemain.

Katanya, kekalahan 3-5 kepada Merah Kuning pada sirkit keempat di Stadium Tertutup SUKPA bulan lalu bukan penentu kepada keputusan perlawanan kali ini.
“Saya yakin barisan pemain Pahang Rangers mampu melakukan kejutan terhadap Selangor walaupun mereka beraksi di laman sendiri dengan sokongan penyokong setia.
“Untuk meraih kemenangan, pemain tidak boleh melakukan banyak kesilapan selain perlu mengawal pergerakan pemain lawan yang pasti akan memburu jaringan awal serta membentuk pertahanan yang kukuh,” katanya.
Akmarulnizam berkata, setiap peluang yang diperoleh perlu dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan Selangor dijangka memberi kawalan ketat bagi menghalang Pahang Rangers menjaringkan gol.
Sementara itu, ketua jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile berharap penjaring terbanyak pasukan, Felipe de Souza dapat tampil lebih tajam di hadapan gawang selain menyudahkan setiap peluang yang terhidang.
Katanya, pemain lain termasuk Rodrigo da Silva, Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir, Akmarulnizam dan Tuah Eizlan Aminnudin turut perlu memainkan peranan dalam menghasilkan jaringan.
“Kami memerlukan kemenangan dalam dua perlawanan menentang Selangor malam ini dan Terengganu esok bagi memperbaiki kedudukan liga serta membuka peluang memburu kejuaraan musim ini.
“Kemenangan ke atas Selangor juga penting untuk menebus kekecewaan selepas tewas 3-5 pada pertemuan sebelum ini,” katanya.
IMedikel TV






