KIGALI (RWANDA): Agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa amalan membawa pulang mayat mangsa Ebola untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing boleh mempercepat penularan virus itu di Republik Demokratik (DR) Congo, ketika angka kematian akibat wabak berkenaan melepasi 800, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro, sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei, DR Congo merekodkan lebih 2,100 kes Ebola yang disahkan termasuk lebih 828 kematian, menurut kemas kini terkini Kementerian Kesihatan negara itu. Kadar kematian kes direkodkan pada 37.5 peratus.
Virus itu telah merebak ke lima wilayah iaitu Haut-Uele, Ituri, North Kivu, South Kivu dan Tshopo.
Pengarah Serantau Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Frantz Celestin berkata wabak itu menular hingga 70 peratus dalam tempoh dua minggu lepas, dengan purata lebih 40 kes baharu dilaporkan setiap hari.
Menerusi taklimat video, beliau berkata tentangan daripada masyarakat setempat terus menghalang usaha melaksanakan pengebumian secara selamat, malah pasukan pengurusan pengebumian berdepan bantahan dan dalam beberapa kes turut diserang.
“Yang amat membimbangkan ialah 60 peratus daripada kematian yang dilaporkan berlaku dalam komuniti,” katanya sambil menegaskan cabaran berterusan dalam pengesanan awal, pemantauan serta akses segera kepada rawatan.
IOM memaklumkan amalan membawa mayat merentasi kawasan untuk dikebumikan masih berleluasa. Menurutnya, sebanyak 105 mayat berjaya dikesan semasa operasi pemantauan Ebola di lintasan sempadan dan pintu masuk ke pelbagai zon kesihatan.
Bulan lalu, empat sukarelawan Bulan Sabit Merah yang terlibat dalam operasi menangani wabak itu cedera parah di sebuah tanah perkuburan di Bunia, ibu negeri wilayah Ituri apabila tercetus keganasan ketika upacara pengebumian mangsa Ebola. Menurut media tempatan, sekumpulan belia cuba membuka keranda mangsa.
Badan kebajikan perubatan Doctors Without Borders awal minggu ini memaklumkan wabak yang berpunca daripada virus Bundibugyo itu kini menjadi wabak Ebola ketiga terbesar dan paling pantas merebak, hanya dalam tempoh dua bulan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan jumlah zon kesihatan yang terjejas meningkat daripada 36 kepada 42 dalam tempoh seminggu.-Bernama-Anadolu, HMetro Online-
IMedikel TV






