Home Buletin Semasa 175 PATI WARGA INDONESIA DITAHAN DALAM OPS MEGA DI MIRI

175 PATI WARGA INDONESIA DITAHAN DALAM OPS MEGA DI MIRI

36
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MIRI: Seramai 175 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam Operasi Bersepadu Ops MEGA di sebuah perumahan pekerja di Linau Mewah Estate, Jalan Lambir, di sini, malam Rabu.

Menerusi kenyataan JIM Sarawak, operasi yang diketuai Unit Penguat Kuasa Imigresen Miri itu bermula kira-kira jam 11.35 malam pada 15 Julai lalu bagi mengesan dan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.

“Hasil pemeriksaan terhadap 250 warga asing mendapati 175 warga Indonesia disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Daripada jumlah yang ditahan, 90 adalah lelaki, 53 wanita dan 32 kanak-kanak,”menurut kenyataan itu.

Operasi bersepadu itu membabitkan 57 anggota penguat kuasa terdiri daripada 30 pegawai dan anggota JIM Sarawak, 10 anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK), sembilan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), empat anggota Pasukan Polis Marin (PDRM) dan empat anggota Unit Keselamatan dan Perlindungan Sarawak (UKPS).

“Pemeriksaan berakhir kira-kira jam 4 pagi.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bekenu bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,”jelas kenyataan itu.

JIM Sarawak menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here