Home Buletin Semasa MISTERI KEHILANGAN REMAJA TERUNGKAI, MAYAT DITEMUI DALAM LADANG KELAPA SAWIT

MISTERI KEHILANGAN REMAJA TERUNGKAI, MAYAT DITEMUI DALAM LADANG KELAPA SAWIT

48
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Misteri kehilangan seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu akhirnya terungkai, apabila mayatnya ditemukan di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Kluang-Kota Tinggi, awal pagi Jumaat.

Mangsa, Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, ditemukan bersama motosikal Yamaha 135LC yang ditungganginya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan satu kemalangan maut, kira-kira jam 2.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, beliau berkata pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit pada jam 3.26 pagi, 13 Julai lalu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumah pada jam 11 malam, 11 Julai dengan menunggang sebuah motosikal Yamaha 135LC berwarna hitam merah bernombor pendaftaran JVR 4139 secara bersendirian.

“Mangsa dipercayai pergi ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi. Bagaimanapun, kira-kira jam 4 pagi, 12 Julai, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, mangsa disyaki terbabas di Jalan Kota Tinggi–Kluang sebelum gagal dikesan sehingga laporan polis dibuat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here