Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperuntukkan sebanyak RM7 juta kepada Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi High Impact Community Projects (HICP) Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peruntukan itu bukan sekadar membiayai pelaksanaan projek, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan kapasiti komuniti, pemindahan teknologi, penghasilan inovasi serta pembentukan ekosistem keusahawanan Bumiputera yang lebih mampan.

“Saya yakin kepercayaan yang diberikan kepada USM akan terus diterjemahkan kepada impak pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sarawak.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada USM, sebuah universiti penyelidikan yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“USM bukan sahaja diiktiraf sebagai antara universiti terbaik dunia, malah sentiasa membuktikan bahawa kecemerlangan akademik mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar bagi keperluan masyarakat,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Lawatan Penanda Aras Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Ulu Rajang (URDA) ke Advance National Honey Landmark (AnNaHL), Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri&Masyarakat), USM, Profesor Datuk Dr Azlan Amran dan Pengarah Kanan Perkhidmatan Perniagaan dan Keusahawanan TERAJU, Mohd Najib Jaafar.
Katanya pendekatan yang menggabungkan penyelidikan, inovasi, teknologi dan penglibatan komuniti seperti yang dipamerkan melalui AnNaHL adalah contoh terbaik bagaimana institusi pengajian tinggi dapat menjadi pemacu pembangunan negara serta rakan strategik kepada kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu Alexander berkata, pelaksanaan projek HICP di Sarawak telah memberi manfaat secara langsung kepada 100 peserta Bumiputera daripada kumpulan B40 dengan purata pendapatan meningkat kepada antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, sekali gus mencatat peningkatan melebihi 25 peratus.
Katanya, projek berkenaan turut menghasilkan 10 elemen inovasi dan lapan produk hiliran selain memperoleh pensijilan penting seperti Halal, MeSTI, Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan Good Manufacturing Practise (GMP) yang membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran tempatan serta antarabangsa.
“Lebih penting, projek ini berjaya memindahkan ilmu, teknologi dan kepakaran kepada komuniti luar bandar sekali gus melahirkan usahawan yang lebih mahir, berpengetahuan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, beberapa kawasan di Parlimen Kapit turut dipilih sebagai lokasi pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuk projek Madu Kelulut di Melatai Selirik dan Kampung Tatai Mas Raweng serta projek Integrasi Penternakan Itik Telur, Pokok Pisang dan Azolla di Nanga Yong.
Menurutnya, pembangunan Upper Rajang Honey Processing & Marketing Centre di Kampung Kebiau, Song pula dijangka menjadi pemangkin baharu kepada industri madu kelulut di Upper Rajang sebagai hab pemprosesan, pemasaran, latihan dan pembangunan industri yang mampu meningkatkan nilai tambah produk tempatan.
“Saya berharap RECODA dan URDA akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik USM dalam mempercepat pelaksanaan projek, memperkukuh penyelarasan di lapangan, mengenal pasti lebih banyak komuniti yang berpotensi serta memastikan setiap pelaburan kerajaan benar-benar menghasilkan impak yang mampan kepada rakyat,
“Saya percaya, apabila kepakaran universiti digabungkan dengan dasar kerajaan, kekuatan agensi pelaksana dan kesungguhan komuniti, kita bukan sahaja membina ekonomi yang lebih kukuh, malah mencipta masa depan yang lebih makmur dan lestari untuk generasi akan datang,”katanya.
IMedikel TV






