Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 1,842 kilogram (kg) barang kawalan bersubsidi termasuk minyak masak, gula pasir kasar dan gas petroleum cecair (LPG) bernilai keseluruhan RM28,329.80 dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Pengkalan Nangka, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata operasi yang dijalankan pada jam 5.20 petang itu membabitkan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPMW3) Pengkalan Kubor.
Menurut beliau, operasi berkenaan berjaya membongkar kegiatan penyimpanan dan urus niaga barang kawalan tanpa lesen serta kebenaran yang sah di belakang sebuah kedai runcit.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 498kg minyak masak bersubsidi bernilai RM1,625 dan 144kg gula pasir kasar bernilai RM424.80.
“Turut disita ialah 1,200kg gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama bernilai RM2,280, menjadikan keseluruhan barang kawalan yang dirampas sebanyak 1,842kg,” katanya.
Beliau berkata, selain barang kawalan, KPDN turut menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan atau mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan iaitu sebuah Mitsubishi Pajero dan Perodua Kenari dengan nilai keseluruhan RM15,000.
Katanya dalam tindakan pertama, seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memiliki 204kg minyak masak bersubsidi paket satu kilogram bersama sebuah Mitsubishi Pajero, membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM10,510.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi sama menemukan pelbagai jenis minyak masak bersubsidi, gula pasir kasar serta sebuah Perodua Kenari dengan nilai keseluruhan rampasan RM6,539.80.
“Dalam tindakan ketiga pula, KPDN menemukan 90 tong LPG pelbagai jenama bernilai RM11,280.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak terbabit sekiranya didapati melakukan kesalahan,”katanya.
IMedikel TV






