Home Buletin Semasa PELAJAR CURAH AIR SABUN KE MATA RAKAN DITAHAN POLIS

PELAJAR CURAH AIR SABUN KE MATA RAKAN DITAHAN POLIS

157
0

Gerik, PERAK: Tindakan seorang pelajar Tingkatan Satu, mencurah cecair disyaki air sabun ke arah mata rakan asrama yang sedang tidur dalam kejadian di sebuah sekolah berasrama di sini, mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata maklumat kejadian itu diterima berpandukan laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa pada jam 12.22 tengah hari semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 19 Mei lalu ketika mangsa yang juga berusia 13 tahun sedang tidur dalam bilik asrama sekolah berkenaan.

“Kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang tidur, terkejut sejurus kedua-dua belah matanya dicurahkan cecair dipercayai sabun.

“Mangsa kemudian dihantar untuk rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan pemeriksaan pakar mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ‘Bilateral Eye Chemical Injury Grade 1’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri berkata, susulan laporan polis yang diterima, polis menahan pelajar terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan menggunakan bahan yang berbahaya.

Katanya, polis akan memanggil beberapa saksi termasuk guru dan pelajar lain bagi membantu siasatan kes sebelum merujuk kertas siasatan itu kepada pihak pendakwaan sebaik siasatan selesai.

Sumber BH Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here