Home Buletin Semasa LELAKI AMBIL UPAH RM200 BAWA 400,000 ROKOK SELUDUP

LELAKI AMBIL UPAH RM200 BAWA 400,000 ROKOK SELUDUP

32
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup 400,000 batang rokok putih tidak bercukai dalam Op Taring Alpha 1 menerusi satu serbuan di Kampung Pulau Panjang, di sini, pada 11 Julai lalu.

Dalam kenyataan menerusi laman rasmi, Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA Kuantan memaklumkan serbuan kira-kira jam 9 malam itu dilaksanakan hasil maklumat risikan terhadap kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota PGA berjaya menahan dua buah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan, manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri ke kawasan semak dan kini masih dikesan pihak berkuasa,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan menemukan sebanyak 400,000 batang rokok putih yang disyaki tidak bercukai.

“Turut dirampas sebuah Proton Exora dan sebuah Nissan Grand Livina, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM813,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,”jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku rokok tidak bercukai itu dipercayai hendak dihantar ke pasaran di Kuala Besut, Terengganu.

“Suspek turut mengaku mengambil kenderaan yang telah siap diisi dengan muatan rokok di kawasan Jalan Kampung Pauh, Kota Bharu dan menerima upah antara RM150 hingga RM200 bagi setiap penghantaran.

“Menurut suspek, dia tidak mengenali identiti sebenar dalang sindiket kerana hanya berurusan menerusi aplikasi komunikasi dalam talian,”menurut kenyataan itu.

PGA memaklumkan akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan tiada pembolosan di kawasan tanggungjawab.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here