Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Semangat kerjasama dan muafakat terus diperkukuhkan dalam kalangan warga Penjara Penor menerusi penganjuran Program Memasak Bubur Asyura yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Mustaqim, Penjara Penor, di sini, semalam.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu menyaksikan penyediaan empat kawah bubur asyura secara bergotong-royong dengan penglibatan pegawai serta kakitangan Penjara Penor.
Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara (PP) Mohamad Hasnor Abd Hamid program itu diadakan bersempena kedatangan Awal Muharam sebagai usaha menghidupkan tradisi memasak bubur asyura, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga Penjara Penor dan keluarga mereka.
“Sebanyak empat kawah bubur asyura versi Utara disediakan tahun ini dengan kerjasama semua peserta yang berganding bahu menyediakan bahan, mengacau bubur sehingga proses pengagihan kepada warga Penjara Penor selesai.
“Suasana penuh muafakat dan semangat kekeluargaan dapat dilihat sepanjang program berlangsung, sekali gus mencerminkan budaya kerja berpasukan yang sentiasa menjadi amalan warga Penjara Penor,” katanya.
Turut menyertai program ialah Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Rusli Abd Rahman.
Beliau berkata, program seumpama itu akan terus diteruskan pada masa hadapan sebagai platform mengukuhkan ukhuwah, menyemarakkan semangat gotong-royong serta memelihara tradisi warisan yang menjadi kebanggaan masyarakat.
Menurutnya, sebelum ini Penjara Penor turut menganjurkan dua program makan durian bersempena musim ‘raja buah’ yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan dan keluarga.

“Beberapa lagi program yang membabitkan kakitangan serta ahli keluarga turut dirancang bagi mengukuhkan hubungan dan semangat kebersamaan.
“Saya berpuas hati dengan penyertaan yang diterima setiap kali program diadakan. Semangat kerjasama sentiasa diberi keutamaan dalam usaha mengangkat imej Penjara Penor,” katanya.
Rata-rata peserta yang mengambil bahagian melahirkan rasa puas hati terhadap program itu apabila hasil gotong-royong dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang tidak berpeluang menyertainya.
IMedikel TV






