Home Hiburan SYED SADDIQ HARAP KEADILAN DAN KEBEBASAN

SYED SADDIQ HARAP KEADILAN DAN KEBEBASAN

33
0

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap keadilan dan kebenaran berpihak kepadanya menjelang keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya daripada empat pertuduhan jenayah.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.55 pagi dengan mengenakan sut berwarna hitam gelap.

Ketika ditemui sebelum memasuki kamar mahkamah, bekas Menteri Belia dan Sukan itu hanya menyampaikan kenyataan ringkas sambil meminta orang ramai mendoakannya.

“Saya hanya mengharapkan keadilan dan kebenaran. Doakan saya,” katanya.

Sebelum memasuki kamar mahkamah, Syed Saddiq sempat bersalaman dengan ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta beberapa ahli keluarga lain yang hadir memberikan sokongan.

Keputusan yang dijadualkan diumumkan pada pukul 9 pagi itu bakal menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau berdepan hukuman selepas pendakwaan merayu keputusan terdahulu yang membebaskan beliau.

Kes berkenaan membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan, Syed Saddiq akan kekal dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya rayuan pendakwaan dibenarkan, beliau berdepan hukuman berdasarkan sabitan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir berkenaan. – UTUSAN MALAYSIA –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here