Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tindakan sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan menganjurkan program hiburan bertemakan disko retro dan hippie ala 60-an serta 70-an tanpa kelulusan membawa padah apabila penganjur dan pemilik premis dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Tindakan itu diambil susulan penularan video berdurasi 40 saat di media sosial yang memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan yang dipercayai berlangsung di premis berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, operasi dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa MPKB-BRI pada petang semalam.
“Setelah mengambil keterangan daripada saksi dan pihak-pihak terbabit, Pegawai Pelesen mendapati penganjur hiburan tersebut tidak pernah membuat apa-apa permohonan daripada MPKB-BRI.
“Penganjur dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, jika disabitkan kesalahan,”katanya dalam kenyataan semalam.
Selain itu, beliau berkata penganjur turut disyaki melanggar Seksyen 20(1)(a) enakmen sama kerana menjual tiket hiburan tanpa lesen yang sah, yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
“Dalam masa sama, pemilik premis juga berdepan tindakan kerana didakwa melanggar syarat lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019, termasuk kemungkinan dikenakan kompaun serta pembatalan lesen perniagaan.
“Sehubungan itu, beberapa notis kompaun telah dikeluarkan kepada penganjur dan pemilik premis mengikut peruntukan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019,”katanya.
Hilmi berkata, Kerajaan Negeri kekal konsisten memastikan adab, budaya dan akhlak masyarakat, khususnya generasi muda, terus dipelihara.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia membimbing mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program hiburan supaya mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh Kelantan.
IMedikel TV






