Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini selepas mengaku bersalah menyeleweng 5,808 liter minyak diesel pada 15 April lalu.
Tertuduh, Nai Thet Naung,38 membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Myanmar terhadapnya dihadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, Thet Naung didakwa didapati telah menyimpan barang kawalan iaitu 5,808 liter minyak diesel di dalam Stor Tidak Bernombor, Sebelah Lot 2970A, Mukim 16, Lorong Perusahaan Sungai Lokan, Butterworth pada jam 4.30 petang, 15 April lalu.
Penyimpanan dibuat tertuduh dalam premis berkenaan didapati tidak mendapat kebenaran oleh Pengawal Bekalan untuk simpanan barang kawalan terbabit.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah seksyen 22(1) akta yang sama.
Untuk kesalahan pertama, tertuduh boleh didenda tidak melebih RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dihukum denda tidak lebih RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrsini dibantu Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),Mohd Hilmi Abu Hassan.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan dari tarikh tangkap dan semua hasil dilucuthak kepada kerajaan.
IMedikel TV






