Home Sukan VIDEO YAMAL TENANGKAN RONALDO TULAR, DETIK HORMAT DUA GENERASI BOLA SEPAK

VIDEO YAMAL TENANGKAN RONALDO TULAR, DETIK HORMAT DUA GENERASI BOLA SEPAK

49
0

DALLAS: Detik penuh emosi tercipta selepas tamat aksi Piala Dunia 2026 apabila bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal tampil menenangkan Cristiano Ronaldo yang gagal menyembunyikan kesedihan selepas Portugal tersingkir di tangan Sepanyol.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Portugal mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik menerusi jaringan lewat Mikel Merino di Stadium AT&T, Dallas.

Kekalahan itu menjadi penamat menyayat hati buat Ronaldo yang mengesahkan Piala Dunia 2026 sebagai penampilan terakhirnya dalam kejohanan berprestij tersebut selepas mengharungi perjalanan antarabangsa selama lebih dua dekad.

Selepas wisel penamat dibunyikan, Ronaldo dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika menyedari impiannya untuk menjulang trofi Piala Dunia tidak akan kesampaian.

Ketika pemain Sepanyol meraikan kejayaan mara ke suku akhir, Yamal mengambil masa untuk meninggalkan rakan sepasukannya sebelum menghampiri kapten Portugal itu bagi memberikan pelukan dan kata kata semangat.

Tindakan pemain muda Sepanyol itu mendapat perhatian peminat bola sepak seluruh dunia kerana dianggap sebagai simbol penghormatan antara dua generasi berbeza dalam sukan tersebut.

Ronaldo, 41, yang beraksi dalam Piala Dunia keenamnya sebelum ini sudah mengesahkan bahawa edisi 2026 adalah penampilan terakhirnya di pentas dunia.

Namun, walaupun gagal menamatkan karier Piala Dunia dengan trofi, legenda Portugal itu tetap meninggalkan legasi besar sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak.

Sementara itu, Yamal yang baru berusia 18 tahun dilihat mewakili generasi baharu bola sepak Sepanyol yang bakal menjadi sandaran utama negara itu untuk tahun tahun akan datang.

Pertemuan antara Ronaldo dan Yamal sebelum ini turut dianggap sebagai pertembungan simbolik antara pemain yang menghampiri penghujung karier dengan bintang muda yang sedang membina namanya di pentas dunia.

Walaupun kedua dua pemain gagal menyerlah sepenuhnya dalam aksi tersebut, momen selepas perlawanan mencuri perhatian apabila Yamal menunjukkan rasa hormat terhadap pemain yang pernah menjadi idolanya.

Bagi Ronaldo, kekalahan itu mungkin menutup satu bab penting dalam kariernya, namun aksi Yamal memberi gambaran bahawa semangat dan nilai hormat dalam bola sepak masih terus diwarisi generasi baharu. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here