BANGKOK: Penemuan arkeologi di barat Thailand, baru-baru ini, menemukan dua cincin emas berusia 2,000 tahun bersama rangka manusia di sebuah tapak yang baru digali, lapor Independent.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Jabatan Seni Halus Thailand berkata, cincin itu ditemukan minggu lalu ketika kerja penggalian di tapak arkeologi Don Yai Thong di wilayah Phetchaburi.
Salah satu cincin mempunyai ukiran tulisan Brahmi, iaitu sistem tulisan purba dari India.
Pakar mengenal pasti tulisan itu sebagai ‘pusarakhitasa’ yang bermaksud ‘seseorang yang dilindungi oleh Pushya’, iaitu salah satu tanda zodiak paling bertuah dalam astronomi India.
Cincin kedua yang ditemukan bersama rangka manusia itu pula adalah sebentuk cincin emas polos dan pakar percaya pemiliknya mungkin seorang pedagang daripada kasta Vaishya dalam sistem kasta purba India.
Tapak Don Yai Thong yang terletak kira-kira 130 kilometer (km) di barat daya Bangkok hanya ditemukan pada awal tahun ini, selepas penduduk menjumpai serpihan gendang gangsa purba di sebuah sawah padi.
Tapak itu dikenal pasti berasal dari penghujung era prasejarah di Thailand atau Zaman Besi, yang dianggarkan berlaku antara 1,500 hingga 2,500 tahun lalu.
Sejak Februari, ahli arkeologi menemui lapan rangka manusia, barang kemas gangsa dan emas, tembikar serta artifak lain yang menunjukkan ia adalah upacara pengebumian golongan kaya atau anggota kelas atasan masyarakat.
Jabatan Seni Halus berkata, kerja penggalian dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi sebelum penemuan arkeologi itu dipamerkan kepada orang ramai.
Jun lalu, ahli arkeologi turut menemui sebuah tapak pengeluaran tekstil yang sangat besar dari Zaman Viking di Denmark, yang berusia lebih 1,000 tahun.
Pakar dari Muzium Moesgaard berkata, tapak seluas 100,000 meter persegi itu mempunyai kawasan memproses flaks serta lebih 80 rumah lubang yang digunakan sebagai bengkel dan kediaman pada zaman Viking.
Tapak di Søften itu berasal dari penghujung Zaman Besi dan permulaan Zaman Viking sekitar tahun 600 hingga 950 Masihi.
Ahli arkeologi, Liv Stidsing Reher-Langberg berkata, penempatan itu berbeza daripada penempatan lain pada tempoh berkenaan kerana memberi tumpuan yang jelas kepada pengeluaran tekstil. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






