KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain yang juga bekas anggota kumpulan wanita G.R.L. Lauren Bennett dilaporkan meninggal dunia pada usia 37 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, berita duka itu disahkan sendiri oleh anggota kumpulan G.R.L. menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di akaun Instagram mereka.
“Dengan penuh rasa dukacita, kami ingin memaklumkan pemergian insan tersayang kami, Lauren. Hati kami hancur dan kami tidak mampu menggambarkan betapa besar maknanya Lauren dalam hidup kami.
“Kami akan sentiasa menghargai kasih sayang, gelak tawa dan segala kenangan indah yang dikongsinya bersama kami,” katanya.
Kenyataan yang menyentuh hati itu diakhiri dengan nota hantaran daripada tiga anggota kumpulan berkenaan iaitu Emmalyn Estrada, Natasha Slayton dan Paula van Oppen yang menulis, ‘Your GRLs, Em, Tash and P’.
“Jiwa yang begitu indah menyentuh kehidupan ramai orang. Kehilangannya amat dirasai dan dia akan sentiasa dikenang serta disayangi. Bersemadilah dengan tenang, Lauren yang kami kasihi. Kamu akan sentiasa berada di dalam hati kami,” katanya.
Bagaimanapun, sehingga kini punca kematian penyanyi yang popular menerusi lagu Party Rock Anthem itu masih belum didedahkan kepada umum.
Untuk rekod, mendiang memulakan langkah dalam industri muzik seawal usia 18 tahun bersama kumpulan Paradiso Girls dan pernah melonjak naik menerusi single Patron Tequila pada 2009 sebelum berpecah.
Bennett kemudian mengukir nama sebagai penyanyi solo dan mengecap populariti global apabila dipihak sebagai penyanyi jemputan untuk lagu hits kumpulan LMFAO, Party Rock Anthem.
Dia juga pernah bekerjasama dengan produser terkenal, will.i.am menerusi versi remix lagu I Got It from My Mama.
Kerjayanya terus memuncak selepas menyertai G.R.L. pada 2014, yang terkenal dengan lagu hit Ugly Heart serta lagu kolaborasi bersama Pitbull berjudul Wild Wild Love.
Kumpulan itu bagaimanapun dibubarkan pada tahun yang sama susulan tragedi kematian salah seorang anggotanya, Simone Battle yang meninggal dunia pada usia 25 tahun. – HMetro Online –
IMedikel TV






