Home Luar Negara SOLAT JENAZAH UNTUK ALI KHAMENEI DIJADUALKAN BERLANGSUNG HARI INI

SOLAT JENAZAH UNTUK ALI KHAMENEI DIJADUALKAN BERLANGSUNG HARI INI

38
0

TEHRAN: Solat jenazah untuk pemimpin agung Iran, Ali Khamenei dijadualkan berlangsung hari ini.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, ini menandakan hari kedua bagi siri upacara pengebumian panjang yang telah pun menarik kehadiran lautan manusia bagi memberi penghormatan terakhir di ibu kota.

Pihak berkuasa belum mengumumkan sama ada tokoh agama atau ahli keluarga yang akan mengimamkan solat berkenaan bagi menghormati Khamenei.

Tokoh ini telah memimpin Iran sejak tahun 1989 sehinggalah beliau terkorban pada usia 86 tahun dalam serangan udara pada hari pertama perang Timur Tengah, 28 Februari lalu.

Anak lelaki sekali gus penggantinya, Mojtaba Khamenei, belum kelihatan di khalayak ramai sejak dinamakan sebagai pemimpin agung yang baharu. Beliau dilaporkan turut tercedera dalam serangan yang sama. 

Hari Ahad diisytiharkan sebagai cuti umum bagi seluruh negara. Menjelang sebelah malam, jenazah Khamenei akan dibawa keluar dari kompleks Grand Mosalla, lokasi penghormatan terakhir diadakan, sebagai persiapan bagi perarakan di sekitar ibu kota pada Isnin.

Komandan Pasukan Pengawal Revolusi di Tehran yang menguruskan upacara ini, Hassan Hassanzadeh memaklumkan bahawa solat jenazah ke atas jasad pemimpin yang syahid itu akan dilaksanakan pada jam 8 pagi waktu tempatan (0430 GMT), memetik laporan televisyen rasmi.

Pada Sabtu, kumpulan besar rakyat Iran yang setia kepada republik Islam berhimpun bagi memulakan upacara pengebumian awam. Pihak berkuasa berharap perhimpunan ini akan menyampaikan mesej penentangan yang jelas selepas tamatnya perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Berpakaian hitam sambil mengibarkan bendera merah darah yang melambangkan tuntutan bela dan keadilan, para hadirin memukul dada tanda berduka. Laungan “jahanam Amerika” dan “balas dendam, balas dendam” turut bergema di sekitar lokasi perhimpunan.

“Pemimpin ini umpama seorang bapa kepada kami semua. Pemergian beliau menyebabkan kami semua berasa seperti anak yatim,” kata seorang ulama, Mohammad Mirsalehi, 38.

Foto agensi berita AFP memaparkan keranda Khamenei yang diletakkan serban hitam di atasnya, bersama empat ahli keluarga lain yang turut terkorban dalam serangan 28 Februari lalu termasuk cucu perempuannya yang masih bayi. Kesemuanya ditempatkan di bahagian hadapan di atas pentas khas.

Pihak berkuasa menjangkakan perhimpunan ini akan menggerakkan lebih 10 juta orang di ibu kota saja.

Selesai perarakan pada Isnin, keranda Khamenei akan dibawa ke kota keagamaan, Qom pada Selasa.

Perjalanan diteruskan ke negara jiran, Iraq pada Rabu sebelum dikebumikan pada Khamis di kampung halaman beliau di Mashhad yang terletak di bahagian timur laut.

Kawalan keselamatan yang ketat telah dilaksanakan di ibu kota. Media rasmi turut mengingatkan para hadirin mengenai risiko kejadian rempuhan akibat kesesakan luar biasa. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here