Home Sukan VOZINHA CETUS FENOMENA, JANA NILAI JENAMA RM75 JUTA

VOZINHA CETUS FENOMENA, JANA NILAI JENAMA RM75 JUTA

38
0

MIAMI: Penjaga gol Cape Verde, Josimar Jose Evora Dias atau lebih dikenali sebagai Vozinha, muncul antara bintang paling mencuri perhatian di Piala Dunia 2026 apabila kejayaannya membantu negara kecil itu mencipta kejutan membuka pintu kepada peluang lumayan di luar padang.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Vozinha, 40, melonjak menjadi sensasi dunia selepas aksi cemerlang ketika membantu Cape Verde mengikat Sepanyol tanpa jaringan dalam perlawanan pertama kumpulan, sekali gus memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Prestasi luar biasanya diteruskan apabila Cape Verde turut mengikat Uruguay dan Arab Saudi sebelum memberikan tentangan sengit kepada juara bertahan Argentina dalam aksi pusingan 32 terbaik.

Popularitinya di media sosial meningkat secara mendadak apabila jumlah pengikut Instagram melonjak daripada sekitar 50,000 kepada lebih 17.6 juta dalam tempoh kurang tiga minggu.

Ejen sukan terkenal Amerika Syarikat, Leigh Steinberg berkata kejohanan seperti Piala Dunia sering menjadi pentas yang mengubah atlet yang sebelum ini tidak dikenali menjadi bintang bertaraf dunia. 

“Ia adalah kisah David menentang Goliath dan itulah yang menjadikan Vozinha dikenali di seluruh dunia,” katanya. 

Menurut Steinberg, peningkatan mendadak populariti itu membuka peluang besar kepada Vozinha untuk menjana pendapatan menerusi media sosial, penajaan komersial serta pelbagai kempen pengiklanan.

“Apabila profil seseorang meningkat begitu tinggi, ia mewujudkan sumber pendapatan yang sangat menarik kepada pengiklan. Dia boleh menjana pendapatan melalui Instagram, YouTube dan pada masa sama menerima tawaran iklan daripada pelbagai jenama seperti automotif, pakaian serta produk pengguna,” katanya.

Vozinha yang kini berstatus ejen bebas selepas kontraknya bersama kelab divisyen dua Portugal, Chaves berakhir, mengakui dia terbuka menerima sebarang tawaran bagi meneruskan kariernya.

“Saya terbuka kepada apa sahaja. Kita lihat apa yang akan datang,” katanya ketika ditemu bual wartawan dan pempengaruh Brazil, Daniel Braune.

Menurut firma pemasaran Apex Marketing, nilai pendedahan jenama yang dijana Vozinha sepanjang tempoh Piala Dunia mencecah AS$17.7 juta (kira-kira RM75 juta) merangkumi media sosial, televisyen, radio, portal digital dan media cetak.

Fenomena itu turut memberi kesan kepada Cape Verde apabila carian Google berkaitan negara berkenaan seperti lokasi, sebutan nama dan destinasi pelancongan meningkat lebih 5,000 peratus sepanjang kejohanan berlangsung.

“Selepas Piala Dunia nanti, semua orang akan mengenali Cape Verde,” kata Vozinha.

Penjaga gol berpengalaman itu sebelum ini mengakui penampilan sulung Cape Verde di pentas Piala Dunia adalah detik paling bermakna dalam hidupnya selepas hanya bergelar pemain profesional pada usia 25 tahun.

“Kami bekerja keras sepanjang hidup untuk menikmati detik seperti ini. Saya kini berusia 40 tahun dan ini adalah ganjaran kepada seluruh perjalanan hidup saya,” katanya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here