Home Buletin Semasa “SAYA TETAP PERDANA MENTERI WALAU APA KEPUTUSAN PRN JOHOR” – ANWAR

“SAYA TETAP PERDANA MENTERI WALAU APA KEPUTUSAN PRN JOHOR” – ANWAR

46
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak akan terjejas tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kehadirannya ke Johor bukan untuk mencetuskan perbalahan politik, sebaliknya bagi meneruskan agenda pembangunan dan membantu rakyat menerusi dasar yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan sepanjang tempoh kempen dan tidak menjadikan pilihan raya sebagai medan permusuhan.

“Saya menang di Johor pun saya Perdana Menteri, kalah di Johor pun saya Perdana Menteri. Bukan saya sombong, tetapi saya mahu ingatkan supaya cakap itu biarlah cermat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kita Geng MADANI Anak Muda Bukit Batu di Jalan Tropika, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa rakyat Johor, termasuk pengundi yang berada di luar negeri serta di Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 11 Julai ini.

Katanya, setiap undi amat penting dalam menentukan hala tuju negeri dan masa depan rakyat.

“Saya harap semua beri kerjasama. Anak-anak yang berada di Singapura, baliklah mengundi. Ini masa depan kamu. Anak-anak di Kuala Lumpur pun kena balik.

“Kalau kita tidak mengundi, orang tidak menyokong kita, rugi kita. Inj bukan selalu, empat atau lima tahun sekali,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pelbagai peruntukan bagi memacu pembangunan Johor dan berharap usaha itu tidak dipolitikkan.

Katanya melihat Johor perlu memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik dan rumah kos rendah sebagaimana dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor serta Perak.

“Apa yang kurang lagi Johor? Ya. Bukan projek besar, itu saya sekali lagi ingat, itu projek lebuh raya semua tak apa, ini kita buat.

“Universiti, itu persekutuan (laksanakan). Jalan besar, itu kita (laksanakan). Itu projek Rapit Transit Sistem (RTS), kereta api berpuluh bilion, ini baru-baru ini projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor Bahru. Itu RM15 bilion, RM16 bilion ringgit. Tak apa, itu kita cari duit.

“Tapi ini rumah, rumah rakyat, gerai-gerai. Tengok Kuala Lumpur sekarang kita jaga. Berapa puluh?seratus lebih, semua gerai kita bangkit bagi bersih, baru. Ini orang mahu berniaga kecil susah. Sebab apa kita tumpu itu? Pemimpin, dia mesti fikir di bawah. Ini polisi kita,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Anwar turut menyindir tindakan pemimpin kerajaan negeri mengadakan PRN lebih awal sebelum tamat penggal pentadbiran.

Katanya, ada pihak beranggapan pilihan raya awal mampu memberi kelebihan kepada mereka, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan rakyat.

“Johor tak sabar, belum pun cukup empat tahun sudah ajak pilihan raya. Mereka ingat lagi cepat lagi mudah menang. Belum tentu, mungkin lagi cepat, lagi banyak mereka akan kalah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here