Home Buletin Semasa PEMANDU LORI JATUH GAUNG SEDALAM 46 METER

PEMANDU LORI JATUH GAUNG SEDALAM 46 METER

66
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 46 meter berhampiran Jambatan Pos Blau-Lojing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.58 pagi itu, mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dilaporkan tersepit di bawah batang pokok selepas lori 10 tan yang dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam gaung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari BBP Gua Musang ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mengesahkan sebuah lori 10 tan terjatuh ke dalam gaung berhampiran kawasan kebun.

“Maklumat awal daripada polis mendapati mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, tersepit di bawah batang pokok, namun tahap kecederaannya masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat sedang giat dijalankan dengan anggota bomba menggunakan gergaji berantai bagi mengalihkan batang pokok yang menghempap mangsa sebelum usaha mengeluarkannya dapat dilakukan.

Operasi membabitkan sembilan anggota BBP Gua Musang dengan bantuan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah kenderaan Hilux dan sebuah kenderaan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here