Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil atau memindahkan pokok periuk kera yang terdapat di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JPNP, Mohd Mustakim Semail berkata, masih ramai yang tidak menyedari bahawa periuk kera tersenarai sebagai antara 18 jenis hasil hutan kecil utama yang tertakluk kepada cukai dan permit sebelum dibawa keluar dari kawasan hutan simpan.
Beliau berkata, permintaan terhadap periuk kera lazimnya meningkat setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri apabila tumbuhan itu digunakan sebagai kelongsong untuk menghasilkan lemang periuk kera.
“Individu yang mengambil atau memindahkan hasil hutan kecil utama tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Mereka yang memasuki Hutan Simpan Kekal untuk mencari periuk kera tanpa permit juga melakukan satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mohd Mustakim berkata, selain periuk kera, hasil hutan kecil utama lain yang tertakluk kepada peraturan termasuk damar, buluh, rotan, bahan batuan, buah-buahan hutan, gaharu, herba, madu, kayu palma, minyak, getah, daun, rami serta tunggul kayu mengikut spesies tertentu seperti merbau, cengal, balau dan getah.
Beliau berkata, masih terdapat segelintir masyarakat yang menyangka cukai hanya dikenakan ke atas hasil balak, sedangkan semua hasil hutan kecil yang disenaraikan turut tertakluk kepada cukai dan syarat yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin memasuki Hutan Simpan Kekal bagi tujuan mengambil periuk kera supaya mendapatkan permit terlebih dahulu dengan menghubungi Pejabat Hutan Daerah atau JPNP bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, JPNP akan terus mempergiat usaha memberi penerangan kepada masyarakat mengenai peraturan berkaitan hasil hutan kecil selain meningkatkan penguatkuasaan.
“Pasukan Penguat Kuasa JPNP Zon Timur dan Zon Barat bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah sentiasa menjalankan rondaan di kawasan panas dan laluan tikus bagi membanteras aktiviti pengambilan hasil hutan secara haram,” katanya.
IMedikel TV






