Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua wanita cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori lima tan di persimpangan lampu isyarat Cabang Tiga Padang Tembak, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, kedua-dua mangsa adalah penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat.
Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Muhd Shukri Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 6.40 petang dan hasil pemeriksaan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan dengan sebuah motosikal yang dinaiki dua wanita dewasa.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Pengkalan Chepa serta ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi itu membabitkan tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan EMRS.
Operasi berjaya dikawal pada jam 6.54 petang, manakala kerja-kerja di lokasi diteruskan sehingga operasi ditamatkan.
IMedikel TV





