Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan kematian seorang pelajar di sebuah sekolah di Negeri Sembilan semalam dan menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya berhubung kejadian berkenaan.
Menerusi hantaran di laman rasmi beliau semalam, Anwar berkata beliau dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, amat berdukacita menerima berita pemergian pelajar tersebut serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang sedang berdepan ujian berat.

“Saya dan isteri, Dr Wan Azizah berduka menerima berita pemergian seorang anak di sebuah sekolah di Negeri Sembilan hari ini (semalam). Takziah buat keluarga yang sedang diduga dengan ujian yang amat berat ini.
“Kami mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Semoga keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,”katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menggerakkan bantuan serta sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga mangsa dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian itu.
“Saya memohon semua pihak untuk memberi ruang kepada keluarga dan mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, sementara pihak polis menjalankan siasatan,”katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Sendayan, di sini, maut selepas dikatakan terjatuh dari bangunan, semalam.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata tiada unsur buli dikesan setakat ini dalam kejadian membabitkan pelajar perempuan tingkatan empat itu.
Katanya pelajar berusia 16 tahun itu juga dilaporkan berada dalam keadaan baik selain tidak menunjukkan sebarang elemen luar biasa sebelum kejadian tersebut.
Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menerusi kenyataan di laman rasmi beliau, Fadhlina berkata beliau bersama Dr Mohd Azam hadir ke hospital bagi bertemu kedua-dua ibu bapa mangsa untuk memberikan sokongan secara langsung dalam menghadapi detik sukar tersebut.

“Saya bersama-sama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia hadir ke hospital untuk bertemu sendiri dengan kedua-dua ibu bapa bagi memberikan sokongan.
“Tiada apa yang lebih utama pada ketika ini selain memastikan bantuan terbaik kepada keluarga dan semua yang terjejas.
“Kejadian ini sedang disiasat oleh pihak polis. KPM memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan.
“Saya menyeru masyarakat untuk memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan keadaan sukar pada ketika ini.
“Semoga keluarga diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.
IMedikel TV






