Home Luar Negara 2 KERETA API BERTEMBUNG DI LONDON: 1 MAUT, 11 PARAH

2 KERETA API BERTEMBUNG DI LONDON: 1 MAUT, 11 PARAH

36
0

LONDON: Seorang maut, manakala puluhan lagi cedera termasuk 11 mangsa parah selepas dua kereta api penumpang bertembung di utara London pada Jumaat, menurut perkhidmatan kecemasan United Kingdom (UK).

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, syarikat East Midlands Railway (EMR) memaklumkan nahas itu berlaku pada lewat petang berhampiran Bedford, sebuah bandar yang terletak kira-kira 90 kilometer di utara London.

Kemalangan udara itu membabitkan dua perkhidmatan kereta api penumpang milik syarikat berkenaan yang menuju ke St Pancras, London, melalui landasan tunggal.

Seorang penumpang, Pete Knapp memberitahu agensi berita Press Association bahawa dia mengalami detik cemas apabila tercampak ke kerusi di hadapan akibat impak pelanggaran sebelum melihat kepulan asap.

Katanya, suasana di dalam gerabak bertukar menjadi huru-hara apabila penumpang mula menangis, menjerit ketakutan dan berada dalam panik dan keliru.

Beliau turut menyaksikan ramai mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki, manakala ada yang berada dalam keadaan trauma sehingga tidak mampu berkata-kata.

Dalam perkembangan berkaitan, Perkhidmatan Ambulans East of England mengesahkan seorang mangsa maut di tempat kejadian menerusi kenyataan yang dikeluarkan hampir lima jam selepas insiden itu berlaku.

Pihak ambulans menyatakan selain mangsa yang maut, seramai 11 orang parah, 22 lagi mengalami kecederaan serius, manakala 56 penumpang lain dilaporkan cedera ringan.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera ringan sudah diberikan rawatan awal di lokasi kejadian atau dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Perdana Menteri UK, Keir Starmer menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang amat membimbangkan serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang cedera.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota perkhidmatan kecemasan atas tindakan pantas mereka dalam menyalurkan bantuan serta mengendalikan insiden tragis berkenaan.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana selepas pertembungan berlaku dengan sebahagian penumpang dilihat berjalan di sepanjang landasan berhampiran dua kereta api EMR yang rosak itu.

Pada masa sama, Lembaga Siasatan Kemalangan Rel (RAIB) mengesahkan sepasukan inspektornya dihantar ke lokasi kejadian bagi memulakan proses pengumpulan bukti. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here