Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan 521 kes penguatkuasaan membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM2.67 juta sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 100 tangkapam dilakukan bagi membantu siasatan manakala 302 kes telah dikenakan kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM211,950.

“Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB) mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 237 kes, diikuti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) sebanyak 134 kes serta Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS) sebanyak 132 kes.
“Selain itu, sebanyak 13 kes direkodkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, empat kes di bawah Akta Cap Dagangan dan satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, KPDN Kota Bharu kekal sebagai cawangan paling aktif dari segi penguatkuasaan apabila merekodkan 269 kes dengan 74 tangkapan serta nilai rampasan RM1.94 juta.
“KPDN Pasir Mas pula mencatatkan 84 kes dengan 21 tangkapan dan nilai rampasan RM654,322.71, diikuti Kuala Krai dengan 69 kes, satu tangkapan serta nilai rampasan RM23,234.93.
“Tanah Merah merekodkan 60 kes membabitkan lima tangkapan dengan nilai rampasan RM45,205.86 manakala Gua Musang mencatatkan 39 kes dengan nilai rampasan RM2,647.59,” katanya.
Mengulas prestasi keseluruhan tahun lalu, beliau berkata KPDN Kelantan merekodkan 1,379 kes penguatkuasaan sepanjang 2025 dengan nilai rampasan RM4.77 juta serta 224 individu ditahan untuk membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu berjaya merekodkan 104 kes membabitkan 53 tangkapan hasil daripada 4,223 pemeriksaan yang dijalankan.
“Nilai rampasan keseluruhan Ops Tiris 4.0 ialah RM1.99 juta.
“Diesel adalah barang kawalan yang paling banyak disita dengan jumlah 17,309.40 liter melibatkan 26 kes, diikuti petrol sebanyak 15,127.50 liter melibatkan 53 kes,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan yang menjejaskan subsidi kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN Kelantan turut memperhebat pemantauan harga dan bekalan barangan menerusi Ops Kesan 6.0 yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos depan bagi memastikan tiada unsur manipulasi harga terhadap pengguna.
Katanya setakat ini, sebanyak 25 premis perniagaan di seluruh negeri telah diperiksa dengan 25 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan melibatkan 85 Unit Penyimpanan Stok (SKU).
“Sektor pertanian mencatatkan jumlah SKU tertinggi diperiksa iaitu sebanyak 58 SKU membabitkan pelbagai jenis sayur-sayuran, diikuti sektor petrokimia dengan 16 SKU serta baja pertanian dan pembungkusan plastik sebanyak lapan SKU.
“Lima SKU telur ayam pelbagai gred turut diperiksa di bawah sektor penternakan manakala enam SKU lagi diperiksa berdasarkan aduan pengguna membabitkan telur ayam dan sayur-sayuran,” katanya.
Menyentuh isu bekalan dan harga ayam, Hanif Yusabra berkata, sebanyak 29 aduan berkaitan peniaga ayam diterima dan disiasat oleh pihaknya.
“Hasil pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 60 kes tindakan undang-undang telah direkodkan membabitkan peniaga ayam.
“Daripada jumlah itu, 49 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan atau tamat tempoh, manakala tujuh kes lagi membabitkan kegagalan mempamerkan tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,”katanya.
Manakala beliau berkata empat lagi kes membabitkan harga mengelirukan yang dikenakan kepada pengguna diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Beliau menegaskan KPDN Kelantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah atau melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, aplikasi EZ Adu KPDN, Hotline KPDN 1-800-886-800 atau portal e-Aduan KPDN untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






