Home Buletin Semasa DUA LELAKI DALANG SELUDUP MIGRAN DITAHAN

DUA LELAKI DALANG SELUDUP MIGRAN DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran menerusi Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Jalan Kebun Sultan dan Kampung Tal Tujoh di sini, pagi kelmarin.

Dalam operasi itu, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan bersama 35 warga Myanmar.

Pengarah Imigresen Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 6 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan oleh 14 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan.

Menurut beliau, pasukan operasi berjaya mengesan tiga kenderaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI keluar dari Kelantan, sekali gus menggagalkan kegiatan penyeludupan masuk dan keluar migran tanpa dokumen sah di negeri ini.

“Pemantauan yang dijalankan berjaya mengesan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Yaris, Honda Jazz dan Honda CR-V yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran.

“Hasil pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan operasi turut menemukan sekumpulan warga Myanmar yang bersembunyi di dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, seramai 17 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar ditemui bersembunyi di lokasi berkenaan, manakala pemeriksaan keseluruhan operasi membawa kepada penahanan 35 warga Myanmar terdiri daripada 22 lelaki dan 13 wanita.

Kesemua warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam masa sama, dua lelaki warga Malaysia turut ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, semua PATI yang ditahan bersama tiga kenderaan terbabit telah dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat dalam melindungi PATI, termasuk rakyat tempatan yang cuba mengaut keuntungan mudah daripada aktiviti menyalahi undang-undang ini,”tegasnya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kehadiran PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang melanggar undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan dijalankan secara lebih berkesan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here