Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Anak kepada pendaki yang dilaporkan hilang, Jaslinda Saludin, memohon maaf kepada semua pihak sekiranya ibunya pernah melakukan sebarang kesilapan sama ada secara sedar atau tidak sepanjang hayatnya.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads dengan menggunakan akaun deefzl._ permohonan maaf itu dibuat dengan penuh rendah hati sebagai waris kepada Jaslinda yang sehingga kini masih belum ditemukan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf sekiranya ibu saya, Jaslinda binti Saludin, ada melakukan sebarang salah silap kepada sesiapa sahaja sama ada sedari atau tidak.
“Sebagai waris, saya dengan rendah hati memohon maaf bagi pihak beliau,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan doa, nasihat, petua serta sokongan kepada keluarga sejak kehilangan ibunya.
Menurutnya, keluarga akan terus menerima dan berusaha melakukan segala perkara yang baik demi membantu usaha pencarian dengan izin Allah SWT.
“Kepada semua yang telah memberi doa, nasihat, petua dan sokongan, kami amat menghargainya.
“InsyaAllah, segala yang baik demi usaha mencari ibu akan kami terima dan usahakan dengan bantuan Allah SWT. Teruskan berdoa,” katanya.
Jaslinda dilaporkan Bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Who.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.
IMedikel TV






