Home Sukan ZVEREV MARA SEPARUH AKHIR

ZVEREV MARA SEPARUH AKHIR

45
0

PARIS: Alexander Zverev meneruskan misi memburu gelaran Grand Slam pertamanya selepas mara bergaya ke separuh akhir Terbuka Perancis, manakala pemain muda Republik Czech, Jakub Mensik menamatkan kemaraan sensasi bintang Brazil, Joao Fonseca, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Zverev, pemain dengan ranking tertinggi yang masih kekal dalam saingan perseorangan lelaki, menamatkan penampilan cemerlang remaja Sepanyol, Rafael Jodar dengan kemenangan 7-6 (7/3), 6-1, 6-3 untuk melangkah ke separuh akhir.

Pemain berusia 29 tahun itu kini dianggap calon utama untuk memenangi gelaran Grand Slam sulungnya selepas sebelum ini tiga kali muncul naib juara, termasuk di Roland Garros pada 2024.

“Saya mahu memenangi perlawanan yang ada di hadapan saya. Itulah matlamat saya,” kata Zverev yang hanya kehilangan satu set sepanjang kejohanan setakat ini.

“Saya gembira berada di separuh akhir, buat masa ini,” tambahnya. 

Ini kali kelima dalam tempoh enam tahun beliau berjaya mara ke separuh akhir di Paris. 

Zverev akan berdepan Mensik di separuh akhir selepas pemain Czech berusia 20 tahun itu mengejutkan Fonseca dalam aksi sebelah malam.

Mensik menewaskan Fonseca 6-4, 6-3, 7-6 (7/3) untuk mencatat pencapaian terbaiknya dalam kejohanan Grand Slam.

“Ia antara persembahan terbaik saya setakat ini,” kata Mensik yang memerlukan tujuh mata kemenangan (match point) sebelum berjaya menamatkan tentangan Fonseca.

Pertembungan itu merupakan suku akhir perseorangan lelaki termuda di Roland Garros sejak Rafael Nadal yang berusia 20 tahun menewaskan Novak Djokovic yang ketika itu berusia 19 tahun pada 2006.

Fonseca mempamerkan potensi besarnya dengan kemenangan ke atas Djokovic dan Casper Ruud sebelum ini, namun gagal mengekalkan rentak apabila berdepan lawan yang berpotensi menjadi pencabar utama dalam sukan itu pada masa depan.

“Saya datang dengan kecederaan kecil dan tanpa sebarang harapan tinggi untuk kejohanan ini, tetapi berjaya melangkah jauh. Ia minggu yang positif,” kata Fonseca yang mengalami masalah pergelangan tangan sebelum Roland Garros. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here