Home Sukan FONSECA KEJUTKAN DJOKOVIC DI ROLAND GARROS

FONSECA KEJUTKAN DJOKOVIC DI ROLAND GARROS

38
0

PARIS: Bintang muda Brazil, Joao Fonseca menyingkirkan Novak Djokovic pada pusingan ketiga Terbuka Perancis sekali gus menggagalkan misi legenda Serbia itu memburu gelaran Grand Slam ke-25.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Fonseca yang baru berusia 19 tahun bangkit daripada ketinggalan dua set buat kali kedua berturut-turut untuk menewaskan Djokovic menerusi aksi penuh dramatik di Roland Garros.

Pemain muda itu menang 4-6, 4-6, 6-3, 7-5, 7-5 selepas pertarungan hampir lima jam untuk mara ke pusingan 16 terakhir Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya.

Ketika ditanya bagaimana dia terus percaya mampu bangkit, Fonseca mengakui keyakinannya sebenarnya hampir hilang.

“Sebenarnya saya tidak percaya. Saya hanya terus bermain dan menikmati aksi di gelanggang.

“Dia idola besar dan satu penghormatan dapat berdepan Djokovic. Saya hanya cuba memukul bola sekuat mungkin. Djokovic jarang melakukan kesilapan dan kami masih rasa dia seperti pemain berusia 20 tahun,” katanya.

Kekalahan Djokovic hadir sehari selepas penyingkiran mengejut pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner.

Ia juga menjamin kemunculan juara Grand Slam lelaki baharu pada Terbuka Perancis tahun ini selepas sembilan kejohanan utama berturut-turut dimenangi Sinner atau Carlos Alcaraz.

“Aksi yang luar biasa untuk menjadi sebahagian daripadanya.

“Pujian besar buat Joao kerana dia memang layak menang dan jelas lebih baik ketika detik penting,” kata Djokovic yang gagal mempertahankan kelebihan awal pada set penentuan.

Djokovic masih kekal dengan 24 gelaran Grand Slam sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat 2023 dan peluangnya menambah koleksi kini semakin sukar.

Fonseca akan bertemu Casper Ruud pada pusingan seterusnya selepas pemain Norway itu menyelamatkan dua mata penamat sebelum menewaskan Tommy Paul. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here