Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT, ISTERI PARAH

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT, ISTERI PARAH

26
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bersama isterinya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Gual Ipoh berhampiran Kampung Tirok di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Mohd Firdauf Kamardin, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superitendan Mohd Haki Hasbullah berkata, pihak polis menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah kira-kira jam 11.45 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis SYM 110 bersama isterinya dari arah Kampung Tirok menuju ke Kampung Gual Ipoh.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dipercayai datang dari arah bertentangan sebelum hilang kawalan lalu melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal yang juga isteri mangsa mengalami patah kaki kiri serta kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di hospital.

Katanya, jenazah mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tanah Merah atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here