Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 390 biji pil disyaki dadah jenis Epam dalam satu operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini, petang kelmarin.
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman sosial rasmi, Strike Force Kompeni A Batalion 7 PGA Kuantan memaklumkan suspek ditahan kira-kira jam 6.40 petang berhampiran sebuah rumah selepas pasukan polis bertindak atas maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebanyak 390 biji pil disyaki dadah jenis Epam yang disimpan di dalam poket belakang seluar jeans hitam miliknya selain sebuah telefon bimbit jenis iPhone,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5,400 dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 di bawah Seksyen 12(2),” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai membeli pil Epam berkenaan melalui platform dalam talian untuk kegunaan sendiri dengan harga sekitar RM40 bagi satu papan.
Pemeriksaan lanjut menerusi aplikasi mobile Card Acceptance Device (MCAD) juga mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 serta Akta Dadah Berbahaya 1952,”menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa memaklumkan pemantauan dan pemeriksaan di sektor Pengkalan Kubor akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang.
Kes rampasan tersebut dirujuk kepada BSJND IPD Tumpat untuk siasatan lanjut.
IMedikel TV






