Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
HULU SELANGOR: Polis mengesahkan kes kehilangan seorang remaja perempuan ketika turun dari aktiviti pendakian di Bukit Asa diklasifikasikan sebagai mati mengejut selepas mangsa ditemukan meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Ibrahim Husin berkata, mayat Nur Izzati Humaira Azizul, 18, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 11.58 pagi pada jarak lebih kurang satu kilometer (km) dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian pada jam 1.08 tengah hari sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, polis menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba Tanjong Malim pada Sabtu lalu kira-kira jam 2.30 petang mengenai kehilangan mangsa ketika turun dari pendakian di Bukit Asa.
“Mangsa yang menyertai aktiviti pendakian bersama enam ahli keluarganya dilaporkan meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya untuk turun lebih awal kerana kepenatan serta tidak tahan cuaca panas.
“Bagaimanapun, apabila ibu mangsa tiba di lokasi kenderaan kira-kira jam 11.35 pagi, remaja terbabit didapati tiada sebelum disyaki hilang ketika turun bersendirian,”katanya.
Beliau berkata operasi SAR kemudian dijalankan selama empat hari melibatkan 114 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung serta sukarelawan.
IMedikel TV






