Home Hiburan ‘WATAK HANG TUAH BELUM UNTUK SAYA’ – AMIR AHNAF

‘WATAK HANG TUAH BELUM UNTUK SAYA’ – AMIR AHNAF

9
0

KUALA LUMPUR: Pelakon Amir Ahnaf, 26, mengambil keputusan berani apabila memilih untuk menarik diri daripada terbabit dalam produksi teater muzikal ikonik, Puteri Gunung Ledang (PGL) kerana menyedari diri masih ‘hijau’ dan banyak perkara yang perlu dipelajari.

Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu sekali gus menyaksikan Amir melepaskan peluang keemasan untuk membawakan watak hero legenda, Hang Tuah, yang menjadi impian ramai pelakon.

Amir ketika ditemui berkata, tindakan itu dibuat bukan kerana dia tidak menghargai pelawaan daripada penerbit dan pengarah terkenal, Puan Seri Tiara Jacquelina, sebaliknya akur bahawa dirinya belum benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab besar sedemikian.

“Saya dapat jemputan daripada Tiara dan ketika itu jadual saya memang sibuk. Saya ada katakan kepadanya, insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan buat pada lain kali.

“Malah, saya sendiri merasakan watak Hang Tuah itu sebenarnya belum sesuai untuk saya buat masa ini. Saya baru berusia 26 tahun dan rasanya banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari,” katanya.

Ditanya sama ada dia berasa ralat menolak peluang itu, pelakon yang melonjak naik menerusi drama rantaian ini percaya setiap rezeki mempunyai waktunya tersendiri dan enggan terburu-buru mengejar populariti.

“Tidaklah ralat, saya rasa belum sampai masanya lagi. Secara peribadi, saya melihat Aqasha sebagai seorang pelakon yang sangat bagus untuk naskhah ini. Bagi saya, peluang dan kepercayaan itu akan sentiasa ada jika kita konsisten mementingkan kualiti dalam kerja,” katanya.

Sebelum ini, nama Amir menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen yang rata-ratanya memetik namanya sebagai calon paling layak dan sesuai untuk menggalas watak pahlawan Melayu berkenaan, selain dihujani sokongan padu peminat.

Menyifatkan sokongan itu sebagai satu penghargaan yang cukup besar, Amir bagaimanapun tetap dengan pendiriannya untuk tidak terburu-buru menerima tawaran sekiranya belum bersedia daripada segi mutu lakonan.

“Saya ambil sokongan penonton itu sebagai satu simbol kejayaan. Insya-Allah, apabila usia saya mencecah 30 atau 35 tahun nanti, mungkin peluang itu akan datang lagi.

“Saya cuba sedaya upaya menjaga kualiti dalam setiap naskhah yang diambil. Kalau hati saya sendiri kata Hang Tuah itu belum milik saya, maknanya memang belum masanya lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Amir mengakui watak Hang Tuah sebenarnya adalah antara karakter impiannya sejak kecil memandangkan dia mempunyai kecintaan yang sangat mendalam terhadap karya berunsur sejarah dan kebudayaan Melayu.

“Saya lahir daripada bidang teater dan platform itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan seni lakon. Saya sangat menyukai teater PGL kerana membesar dengan naskhah sebegitu.

“Sejujurnya, saya memang lebih meminati naskhah yang terarah kepada elemen Melayu, cerita rakyat dan sejarah kita. Karakter seperti itu sudah saya impikan sejak kecil, cuma bezanya kali ini waktu yang mendedikasikan impian itu belum tiba,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here