Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
CYBERJAYA: Jabatan Standard Malaysia (JSM) menafikan pengeluaran sebarang dokumen Pesanan Kerajaan (PO) dan surat pelantikan vendor yang kini tular menerusi saluran tidak rasmi dan didakwa dikeluarkan oleh jabatan itu.
JSM dalam kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan dokumen berkenaan dan mengingatkan orang ramai serta komuniti vendor supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang dokumen mencurigakan yang mempunyai unsur penipuan serta penyamaran identiti pegawai jabatan.
“Semua urusan perolehan rasmi jabatan hanya dilaksanakan secara sah dan telus menerusi sistem ePerolehan Kerajaan Malaysia mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.
“JSM memandang serius isu ini dan tindakan undang-undang sewajarnya sedang diambil bersama pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang komunikasi atau tawaran yang didakwa dibuat atas nama JSM tanpa pengesahan rasmi.
JSM turut menegaskan bahawa sebarang semakan berkaitan ketulenan dokumen, komunikasi atau tawaran hendaklah dibuat terus melalui saluran rasmi jabatan sebelum sebarang transaksi dilakukan bagi mengelakkan implikasi kerugian.
Dalam pada itu, JSM menegaskan komitmennya untuk terus memastikan aspek keselamatan, integriti dan ketelusan dipelihara sepenuhnya dalam setiap urusan pentadbiran jabatan.
IMedikel TV






