Home Buletin Semasa LUPA BAYAR CUKAI JALAN, ALASAN PEMILIK KERETA MEWAH DISITA JPJ KELANTAN

LUPA BAYAR CUKAI JALAN, ALASAN PEMILIK KERETA MEWAH DISITA JPJ KELANTAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Alasan terlupa memperbaharui cukai jalan antara helah popular diberikan pemilik kenderaan mewah yang dikesan gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam Ops Luxury 2.0 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pelbagai alasan diberikan pemilik kenderaan termasuk sengaja menangguhkan bayaran cukai jalan walaupun masih aktif menggunakan kenderaan masing-masing di jalan raya.

“Sebanyak 42 kenderaan mewah disita menerusi operasi berkenaan yang dilaksanakan di seluruh Kelantan.

“Pemilik kenderaan terbabit terdiri daripada ahli perniagaan, individu persendirian serta penjawat awam.

“Ada antara mereka memberi alasan terlupa untuk memperbaharuinya, bagaimanapun tindakan sitaan tetap dilakukan dan pemilik perlu memperbaharui cukai jalan serta menyelesaikan saman sebelum kenderaan dilepaskan,” katanya pada sidang media di JPJ Kelantan, hari ini.

Beliau berkata antara kenderaan mewah yang disita termasuk Porsche 911 GT3, Porsche Panamera V6, Jeep Wrangler, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW 528i Limousine, Audi TTS dan Mercedes-Benz.

Mohd Misuari berkata, hasil operasi itu turut mendapati pelbagai kesalahan lain dilakukan pemilik kenderaan terbabit.

“Antara kesalahan dikesan sepanjang operasi tersebut ialah LKM tamat tempoh sebanyak 35 kes, tiada perlindungan insurans (31 kes), penggunaan ‘Trade Plate’ palsu (satu kes) dan pertukaran enjin tanpa kebenaran (satu kes),” katanya.

Beliau berkata, terdapat pemilik yang hanya memperbaharui insuran tanpa memperbaharui cukai jalan malah ada kenderaan masih digunakan walaupun cukai jalan dan insuran tamat tempoh sejak 2020.

Katanya, jumlah ketirisan hasil kerajaan membabitkan 42 kenderaan yang disita dianggarkan mencecah RM34,547.80 setahun.

“Kadar cukai jalan tertinggi direkodkan ialah RM6,612 setahun, manakala kadar minimum pula RM70 setahun,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan itu dipandang serius kerana bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil kerajaan, malah boleh memberi implikasi kepada pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan atau insiden tidak diingini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here