KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro isu tunggakan gaji yang masih menghantui beberapa pasukan Liga Super walaupun pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) sudah dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dibimbangi mampu menjejaskan kualiti keseluruhan Liga Malaysia.
Bekas Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali berkata, masalah kewangan yang berlarutan bukan sahaja memberi tekanan kepada pemain, malah mampu merencatkan prestasi serta daya saing sesebuah pasukan.
Menurutnya, situasi itu akhirnya memberi kesan besar kepada mutu pertandingan sehingga ada pasukan terpaksa menanggung kekalahan besar yang tidak sepatutnya berlaku dalam liga profesional.
“Saya harapkan isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Banyak cerita yang kita dengar, pasukan yang kita tahu banyak masalah.
“Jadi dari situ, kita tengok FFP yang diketengahkan oleh MFL selepas ini diharap dapat mengurangkan masalah terbabit.
“Sebab isu tunggakan gaji ini akan merencatkan momentum pasukan sampai dibelasah 1-14. Itu yang tidak bagus untuk pasukan dalam liga kita,” katanya.
Safee menjelaskan, kestabilan kewangan amat penting dalam memastikan pemain dapat memberi fokus sepenuhnya di atas padang tanpa dibelenggu tekanan luar.
Katanya, apabila isu pembayaran gaji gagal diselesaikan, ia secara tidak langsung menjejaskan motivasi pemain dan akhirnya mempengaruhi persembahan pasukan sepanjang musim.
Terdahulu, masih terdapat beberapa pasukan Liga Super yang dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji walaupun MFL sebelum ini memaklumkan masalah terbabit menunjukkan perkembangan positif berbanding musim terdahulu.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan bagaimanapun menjelaskan pelaksanaan penuh FFP mula memberikan impak positif khususnya dalam aspek kawalan kewangan dan pengurusan perbelanjaan pasukan.
Menurut beliau, pemantauan secara berkala yang dilakukan MFL membantu mengurangkan masalah tunggakan walaupun masih terdapat beberapa kelab yang sedang bergelut untuk menstabilkan kedudukan kewangan masing-masing.
“Pelaksanaan FFP ini menunjukkan perkembangan yang baik dan kita nampak banyak peningkatan daripada segi pengurusan kewangan pasukan.
“Memang masih ada beberapa pasukan yang berdepan masalah, tetapi kita percaya situasi ini akan terus bertambah baik selepas pemantauan dilakukan secara konsisten,” katanya.
Dalam masa sama, Safee berharap semua pihak termasuk pengurusan kelab dapat memainkan peranan lebih serius dalam memastikan isu tunggakan tidak lagi menjadi ‘penyakit lama’ yang terus membelenggu bola sepak tempatan.
Katanya, Liga Malaysia memerlukan persaingan yang sihat dan kompetitif untuk terus berkembang serta dihormati di peringkat lebih tinggi. – HMetro Online –
IMedikel TV






