Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Rumah Bangsa bukan bermaksud bergabung secara rasmi dalam satu perikatan politik, tetapi ia lebih kepada menjalin kerjasama dan menzahirkan pendirian bersama,” kata Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, hal ini khususnya apabila berkait dengan isu yang boleh dikatakan sebagai ‘garisan merah’ orang Melayu dan Islam dalam negara ini.
“Garisan merah ini berkaitan dengan agama Islam, kedudukan raja, orang Melayu, bahasa Melayu dan ini semua sangat sensitif kepada kita.
“Bagi saya, Rumah Bangsa Musyawarah Nasional yang diumum oleh Presiden itu asasnya penyatuan Melayu.
“Jadi bila timbul isu, kita tidak berlumba-lumba untuk tunjuk siapa yang lebih Melayu, siapa yang lebih Islam sebaliknya kita perlu keluar dengan satu pendirian bersama,” katanya pada sidang media pada Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 anjuran UMNO Ketereh di sini, hari ini.
Tegas beliau, sekiranya timbul sebarang isu yang mencabar garisan merah ini, semua parti-parti Melayu akan bersatu mempertahankannya dan tiada sesiapa berani mencabar.
“Sengketa politik mesti diasingkan kerana ia adalah persaingan dalam dunia politik, pendirian asas kita berkaitan dengan agama dan bangsa,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
IMedikel TV






