Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia disyaki kerana diserang oleh sekumpulan gajah liar di tepi sungai berhampiran ladang getah Jalan Ladang Serasa, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, mangsa yang berusia 55 tahun itu ditemui oleh orang kampung kira-kira jam 11.38 pagi.
Katanya, pemeriksaan dilakukan oleh pihak polis dari Balai Polis Paloh 2 dan siasatan awal mendapati terdapat kesan tapak kaki dan najis gajah ditemui di sekitar lokasi berkenaan.
“Pengesanan itu menguatkan kemungkinan mangsa diserang oleh haiwan liar itu.
“Pemeriksaan awal juga mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan berhampiran hutan dan ladang, agar sentiasa berwaspada serta mengelakkan daripada memasuki kawasan berisiko yang dikenal pasti sebagai habitat hidupan liar, terutamanya gajah.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan.
IMedikel TV






