Home Sukan MUSIM SUKAR MARQUEZ BERTERUSAN

MUSIM SUKAR MARQUEZ BERTERUSAN

34
0

LE MANS: Juara dunia MotoGP, Marc Marquez terpaksa melupakan aksi Grand Prix (GP) Perancis hari ini dan GP Catalunya minggu depan selepas mengalami patah kaki kanan dalam kemalangan ngeri ketika perlumbaan pecut semalam.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pelumba Ducati Lenovo Team itu turut dijadual menjalani pembedahan bahu dalam tempoh terdekat.

Marquez mengalami kemalangan ‘highside’ ketika perlumbaan pecut di Le Mans apabila dia tercampak dari jenteranya sebelum motosikal itu berpusing di udara dan terhempas berhampirannya.

Pelumba Sepanyol berusia 33 tahun itu dilihat melompat menggunakan sebelah kaki sebelum dibawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Selepas pemeriksaan perubatan dan X-ray, Marc Marquez disahkan tidak cergas akibat patah tulang metatarsal kelima pada kaki kanannya. Dia akan terbang ke Madrid malam ini untuk menjalani pembedahan,” kata Ducati dalam kenyataan rasmi.

Kecederaan itu menjadi tamparan terbaharu buat Marquez yang masih gagal menamatkan perlumbaan di podium musim ini.

Dia kini menghuni tangga kelima keseluruhan dan ketinggalan 51 mata di belakang pendahulu kejuaraan Marco Bezzecchi dari Aprilia Racing.

Marquez turut mendedahkan dia akan menjalani satu lagi pembedahan membabitkan bahunya susulan masalah lama yang mengganggu prestasinya sejak awal musim.

“Saya sedar ada sesuatu yang tidak kena. Kami berjumpa doktor dan mereka mendapati semuanya baik-baik sahaja, tetapi skru lama pada ligamen saya berubah kedudukan.

“Ia perasaan yang sangat pelik kerana ketika di rumah saya rasa normal. Tetapi apabila tiba di sini, ia mengganggu tunggangan saya kerana terkena saraf radial. Itu yang menyebabkan saya melakukan kesilapan, tidak konsisten dan mengalami kemalangan yang tidak dijangka.

“Sebab itu saya kelihatan tenang. Prosedur bahu ini hanya membuka semula kawasan itu dan mengeluarkan skru berkenaan. Ia tidak mengambil masa lama,” katanya kepada DAZN.

Marquez kini menyasarkan untuk kembali beraksi pada GP Itali di Mugello hujung bulan ini.-Reuters, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here