VENICE: Venezia meraikan kejayaan kembali ke Serie A dengan cara cukup unik apabila terusan bersejarah Venice bertukar menjadi ‘stadium terapung’ dipenuhi ribuan penyokong.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, juara Serie B itu mengesahkan kenaikan ke liga utama Itali lebih awal selepas seri 2-2 dengan Spezia pada 1 Mei sebelum mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 2-0 ke atas Palermo semalam.
Kejayaan itu memastikan Venezia kembali ke Serie A selepas hanya semusim tersingkir.
Para pemain dan pegawai pasukan menaiki gondola utama merentasi terusan Venice sambil diiringi ratusan bot penyokong yang membanjiri laluan air bandar terkenal itu.
Penyokong berpakaian warna rasmi hijau, hitam dan oren mengibarkan bendera selain menyalakan suar bagi memeriahkan sambutan.
Dengan latar belakang Gereja San Simeon Piccolo yang ikonik, terusan Venice hampir tidak kelihatan apabila dipenuhi bot serta lautan penyokong yang memenuhi kawasan sekitar.
Sambutan kemudian diteruskan di Piazza San Marco apabila skuad Venezia menjulang trofi Serie B di hadapan ribuan peminat di Dataran St Mark.
Venezia menamatkan musim dengan kelebihan satu mata di depan Frosinone yang turut mengesahkan tiket ke Serie A musim depan.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






