Home Luar Negara PERANG IRAN BOLEH BERLANJUTAN 2 ATAU 3 MINGGU LAGI – TRUMP

PERANG IRAN BOLEH BERLANJUTAN 2 ATAU 3 MINGGU LAGI – TRUMP

56
0

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata perang dengan Iran boleh berlanjutan untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi, lapor Agensi Anadolu.

“Masa bukan penghalang bagi kami,” kata Trump dalam satu temu bual telefon dengan penyampai radio, Hugh Hewitt, kelmarin.

Memetik laporan BERNAMA ANADOLU menerusi Berita Harian, namun, Trump enggan menyatakan sama ada gencatan senjata dengan Iran telah berakhir susulan laporan mengenai serangan Iran ke arah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ditanya sama ada perkembangan pada Isnin lalu menandakan konflik kembali memuncak, Trump berkata: “Dalam apa jua keadaan, kita akan menang.”

“Sama ada kita capai perjanjian yang tepat, atau kita menang dengan sangat mudah.

“Dari sudut ketenteraan, kita sudahpun memenanginya. Anda tahu, anda pernah dengar saya katakan berkali-kali, dan orang lain juga berkata: Mereka mempunyai 159 kapal, Hugh. Sekarang, mereka tidak mempunyai apa-apa. Semuanya berada di dasar laut,” katanya lagi.

Trump mendakwa bahawa AS telah ‘memusnahkan’ lapan bot kecil dan laju yang dilengkapi mesingan pada Isnin lalu.

“Kita akan melihat apa yang berlaku,” katanya.

Trump juga mendakwa bahawa AS mempunyai ‘kawalan’ ke atas Selat Hormuz, sambil memberi amaran mengenai potensi risiko terhadap trafik maritim.

“Satu perkara yang anda tidak boleh halang ialah jika seseorang mahu meletakkan periuk api kecil… dan anda kebetulan memiliki kapal bernilai berbilion dolar.

“Saya tidak pasti anda akan berasa teruja untuk melayarkannya,” katanya.

Malah, Trump mendakwa bahawa rakyat Iran ‘sedang mendapatkan senjata’ untuk menentang kerajaan di Tehran.

“Sebaik saja mereka mempunyai senjata, mereka akan berjuang sama hebat dengan sesiapa saja,” katanya.

Ketegangan serantau memuncak sejak AS-Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, sekali gus mencetuskan tindak balas Tehran.-BERNAMA ANADOLU, BH Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here