Home Buletin Semasa PEMERGIAN NURFISYA BUAT SAYA TERASA KOSONG MELIHAT SEKELILING – SAHABAT BAIK

PEMERGIAN NURFISYA BUAT SAYA TERASA KOSONG MELIHAT SEKELILING – SAHABAT BAIK

96
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pemergian penuntut kolej, Nurfisya Zulkifly, 19, yang maut dengan 61 kesan tikaman memberi kesan mendalam kepada sahabat baiknya sehingga dia seakan hilang kata-kata dan kosong terhadap keadaan sekeliling.

Najlaa Amalina, 19, berkata dia mengenali Allahyarham sejak di bangku sekolah menengah pada tahun 2022 dan hubungan mereka kekal rapat sehingga kini.

Ketika dihubungi IMedikel TV, Najlaa berkata kali terakhir dia bertemu Nurfisya adalah pada 22 April sebelum Allahyarham pulang ke Kelantan pada 25 April lalu.

“Allahyarham seorang yang ceria dan mudah didekati. Walaupun dia jarang berkongsi hal peribadi, dia sebenarnya seorang yang baik hati dan suka membantu kawan-kawan.

“Kalau keluar bersama, dia akan pastikan sebelum pukul 10 atau 11 malam sudah berada di rumah kerana keluarganya tegas dan menetapkan had waktu keluar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, mereka biasanya akan meluangkan masa bersama dengan berjalan-jalan dan makan bersama apabila mempunyai kesempatan.

Najlaa berkata, sebaik menerima berita kematian itu, dia terduduk seketika sebelum menghubungi ibu dan abang Allahyarham bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara tersebut.

Najlaa yang menetap di Kuala Kangsar, Perak turut berkongsi rasa sedihnya menerusi satu hantaran di aplikasi TikTok miliknya yang dikenali sebagai ‘misscandy’, memaklumkan bahawa dia sangat rapat dengan Nurfisya.

“Sakit kan bila kita hilang orang yang kita sayang, orang yang ada dengan kita sentiasa susah dan senang, dulu setiap masalah kita kongsi, sekarang aku kena belajar hadap benda ini seorang diri.

“Rehatlah, semua memori dengan kau, aku simpan kemas dalam hati,” katanya menerusi hantaran di akaun Tiktok miliknya.

Dia turut menyifatkan Nurfisya bukan sekadar seorang sahabat, malah sudah dianggap seperti keluarga yang dipilih sendiri, selain mendoakan agar Allahyarham tenang di alam sana.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang gadis ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh, dengan mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya dapat mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

Kes kini masih dalam siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here