Home Sukan HERRY PERTAHAN KEPUTUSAN PECAH GANDINGAN

HERRY PERTAHAN KEPUTUSAN PECAH GANDINGAN

75
0

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tetap mempertahankan keputusan memecahkan gandingan utama ketika aksi getir menentang Jepun dalam saingan terakhir Kumpulan B Piala Thomas 2026 di Forum Horsens, Denmark.

Keputusan berani itu bagaimanapun tidak menjadi apabila Malaysia tewas tipis 2-3 sekali gus terlepas peluang muncul juara kumpulan, situasi yang akhirnya ‘memakan diri’ apabila diundi bertemu China di suku akhir sebelum tersingkir 0-3.

Menurut Herry, keputusan itu bukan dibuat secara semberono, sebaliknya hasil perbincangan bersama barisan jurulatih dan pemain selepas mengambil kira keadaan semasa, termasuk kecederaan Man Wei Chong.

“Ini keputusan bersama. Keadaan Wei Chong tidak mengizinkan, jadi kita perlu ubah kombinasi.

“Kita cuba cari formula terbaik, dan walaupun keputusan tak memihak, pemain sudah beri yang maksimum,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Namun hakikatnya, percaturan itu membuka laluan sukar buat skuad negara.

Jika muncul juara kumpulan, Malaysia berpeluang mengelak China, tetapi kekalahan kepada Jepun menyebabkan laluan bertambah getir.

Dalam perlawanan itu, Leong Jun Hao memulakan aksi dengan kekalahan sebelum gandingan ‘eksperimen’ Aaron Chia-Tee Kai Wun menghidupkan harapan.

Harapan itu tidak bertahan lama apabila Justin Hoh dan beregu kedua Soh Wooi Yik-Nur Izzuddin Rumsani gagal menambah mata kemenangan.

Kemenangan Lee Zii Jia sekadar melengkapkan keputusan tanpa mengubah nasib pasukan.

“Set pertama sepatutnya milik kita, tapi banyak kesilapan mudah di mata akhir.

“Bila terlepas peluang itu, keyakinan lawan meningkat dan kita pula hilang rentak,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here