Home Buletin Semasa WANITA BERUSIA 59 TAHUN DITAHAN CUBA SELEWENG PETROL

WANITA BERUSIA 59 TAHUN DITAHAN CUBA SELEWENG PETROL

75
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Tindakan seorang wanita berusia 59 tahun yang cuba menyeleweng petrol bersubsidi dikesan pihak berkuasa, semalam.

Perbuatan itu terbongkar selepas pemerhatian pihak berkuasa terhadap wanita itu yang membuat pengisian petrol berulang kali di sebuah stesen minyak di Jalan Chabang Empat, di sini sebelum ditahan.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya membuat serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (bersepadu) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPMW3) di lokasi berkenaan kira-kira jam 7.05 pagi.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari yang diubah suai dengan tangki khas bagi tujuan menyimpan petrol.

“Kita turut menyita sebanyak 50 liter petrol yang disedut keluar daripada tangki ubah suai tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan petrol berjumlah RM5,198.50.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

“KPDN Kelantan memberi amaran tegas bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di kawasan sempadan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here