Home Hiburan DR AFIFAH DAKWA TINDAKAN NUBHAN GANGGU EMOSI

DR AFIFAH DAKWA TINDAKAN NUBHAN GANGGU EMOSI

66
0

SHAH ALAM: Bekas isteri penyanyi, Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfeq meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan penyanyi itu yang memfailkan notis pelanggaran perintah mahkamah terhadap dirinya.

Afifah berkata, dia menerima notis berkenaan pada 28 April lalu dan menyifatkan tindakan itu memberi kesan terhadap kesihatan mental serta emosinya.

“Saya terkejut apabila mendapat perintah mahkamah itu. Saya hanya doakan supaya semuanya baik-baik sahaja kerana sekarang saya yang menjaga anak-anak.

“Saya harap Ahmad Nubhan dapat bertindak dengan lebih baik demi saya dan anak-anak serta memikirkan masa depan mereka. Fikirkan kesannya kepada kesihatan dan mental saya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi.

Menurut Afifah, tindakan undang-undang itu turut menjejaskan rutin hariannya dalam menguruskan anak-anak.

“Saya penat bekerja dan perlu menguruskan anak-anak termasuk menghantar mereka ke sekolah.

“Pagi ini pun saya tidak dapat menghantar mereka ke sekolah kerana urusan mahkamah.

“Saya agak terkilan dan tidak bersetuju dengan apa yang difailkan,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Afifah, Norhazura Hamzah memaklumkan bahawa prosiding hari ini merupakan sebutan pertama bagi pengurusan kes di hadapan pendaftar.

Menurutnya, kes berkenaan difailkan berhubung dakwaan pelanggaran perintah mahkamah berkaitan kenyataan yang didakwa dimuat naik oleh anak guamnya di media sosial.

“Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan bagi sesi soal siasat Afifah sebagai responden. Ia merupakan siasatan dalam mahkamah dan perbicaraan akan dijalankan pada tarikh berkenaan.

“Buat masa ini kami tidak boleh mengulas lanjut kerana kes masih dalam prosiding bagi mengelakkan subjudis. Kita tunggu keputusan mahkamah,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here