Home Buletin Semasa BERI PINJAM WANG TANPA LESEN, PEMANDU PERIBADI DIDAKWA DI MAHKAMAH

BERI PINJAM WANG TANPA LESEN, PEMANDU PERIBADI DIDAKWA DI MAHKAMAH

72
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pemandu peribadi dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas enam tuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada tiga individu di depan sebuah kopitiam, di sini, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Yeap Chen Siang, 29, mengaku tidak bersalah selepas masing-masing tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga di hadapan Rais Imran, tertuduh didakwa menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki dan seorang wanita di hadapan sebuah kopitiam, di sini pada 20 April, 19 Jun dan 11 Ogos, tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan keempat hingga keenam di hadapan Wan Mohd I’zzat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di hadapan sebuah kopitiam kepada wanita yang sama dan seorang lelaki lain pada 13 Mac, 20 Mei dan 23 Ogos, tahun lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh didenda bermula RM250,000 dan sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nadzir Abdullah dan Ahmad Nabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli.

Terdahulu, Mohd Nadzir menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Taufikrullah memohon mahkamah membenarkan ikat jamin paling minima terhadap tertuduh memandangkan anak guamnya perlu menanggung ibunya dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.

“Anak guam saya masih bujang, dia perlu menanggung ibunya dan baru kehilangan bapa pada 28 April lepas,” katanya.

Rais Imran kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Wan Mohd I’zzat membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,500.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 2 Julai depan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here