Home Hiburan TRISHA OOI AKUI WAJAH NAMPAK SOMBONG SERING DISALAH ANGGAP

TRISHA OOI AKUI WAJAH NAMPAK SOMBONG SERING DISALAH ANGGAP

12
0

KUALA LUMPUR: “Tipulah kalau tiada orang yang cakap saya sombong,” kata pelakon, Trisha Ooi ketika mengulas dakwaan netizen apabila melabel segelintir artis bersikap sombong di Threads, baru-baru ini.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, mengakui raut wajahnya sering disalah anggap oleh segelintir pihak sehingga ada yang melabelnya sebagai seseorang yang sukar didekati.

“Satu masalah saya adalah orang kata muka saya memang nampak sombong. Saya sendiri pun tidak tahu kenapa. Jadi, kalau saya tidak menegur orang, mungkin mereka akan terus membuat andaian bahawa saya seorang yang sombong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, pelakon drama Calon Isteri Buat Suami ini mendedahkan dia pernah ditegur disebabkan salah faham yang berlaku ketika berada di tempat awam.

“Pernah satu ketika, saya sedang berehat dan duduk di kerusi sementara menunggu urusan kerja. Waktu itu saya memakai cermin mata gelap dan mata saya tertutup.

“Disebabkan itu, mereka tidak nampak dan menyangka saya sengaja tidak mahu menegur sesiapa. Selepas kejadian itu, ada yang bertanya sama ada saya memang berperangai begitu (tidak menegur orang). Hakikatnya, saya cuma tidur,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan netizen yang tular di Threads, Trisha berkata, dia tidak begitu mengikuti perkembangan semasa di media sosial kerana lebih selesa memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerjaya lakonan.

“Mengenai isu yang tular di media sosial, saya tidak begitu pasti sebab saya agak pelik sedikit. Walaupun saya seorang pelakon, saya bukan jenis yang sentiasa menghadap telefon atau aktif di media sosial.

“Kalau lihat akaun Instagram saya pun, pengikut tidaklah ramai kerana fokus saya memang pada lakonan. Jadi, saya memang jarang buka media sosial dan tidak tahu mengenai isu yang tular,” katanya.

Katanya, dia kini lebih matang dalam mengendalikan persepsi orang sekeliling dan memilih untuk tidak terlalu memikirkan kata-kata negatif.

“Pada akhirnya, kita memang tidak boleh memuaskan hati semua orang. Tahun ini, saya belajar sesuatu yang sangat penting iaitu menjadi diri sendiri.

“Tidak semua orang akan suka dengan kita dan bagi saya, perkara itu tidak mengapa,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Trisha bakal muncul dalam filem bergenre seram berjudul Nar’sata: Sekutu Setan yang bakal ditayangkan pada 21 Mei depan.

Selain Trisha, filem arahan Pierre Andre ini dibintangi pelakon hebat seperti Mawar Rashid, Fadlan Hazim, Aniq Suhair dan ramai lagi. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here