Home Sukan JDT TAK AKAN BERHENTI, BAKAL LEBIH KUAT

JDT TAK AKAN BERHENTI, BAKAL LEBIH KUAT

36
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro bahang kebangkitan Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin terasa apabila pemiliknya, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan jelas bahawa skuad Harimau Selatan itu bakal tampil lebih ‘superpower’ menjelang musim depan.

Walaupun langkah JDT tersekat di suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) musim ini, ia bukan penamat kepada misi mereka, sebaliknya menjadi ‘bahan bakar’ untuk memperkukuh pasukan bagi memburu kejayaan lebih besar di pentas Asia.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan, skuad Harimau Selatan tidak akan berhenti daripada terus berkembang, malah bersedia menambah kekuatan dalam setiap aspek termasuk skuad, pengurusan dan fasiliti demi memastikan kelab itu kekal di landasan elit.

“Warna-warna ini tak akan pernah luntur. Perjalanan ini bakal terus berlanjutan, gerakan ini semakin berkembang dan empayar ini semakin kukuh.

“Saya minta maaf terlebih dahulu kepada pihak lain. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadikan JDT lebih kuat serta lebih besar dalam setiap aspek. Kami tidak akan berhenti,” tulisnya di laman sosial.

Kenyataan itu memberi gambaran jelas bahawa JDT bakal melakukan ‘upgrade’ besar-besaran menjelang musim depan, dengan sasaran utama untuk melangkah lebih jauh dalam ACLE selain terus mencipta sejarah baharu kelab.

Dalam masa sama, fokus skuad Harimau Selatan kini masih terarah kepada baki saingan domestik termasuk Liga Super, aksi final Piala Malaysia serta cabaran di separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC).

Apa yang lebih menggerunkan, JDT ketika ini berada dalam momentum luar biasa apabila sudah mengharungi 105 perlawanan Liga Super tanpa tewas, sekali gus menghampiri rekod dunia 108 perlawanan tanpa kalah milik kelab dari Ivory Coast.

Dengan aura dominasi yang semakin kukuh, tidak mustahil JDT akan terus ‘membaham’ saingan domestik sambil membawa misi lebih besar muncul kuasa sebenar Asia musim depan.

Pada saingan suku akhir ACLE di Arab Saudi baru-baru ini, juara Liga Süper 12 musim berturut-turut itu tewas di tangan juara bertahan Al Ahli dengan keputusan 1-2, yang kemudian berjaya mempertahankan gelaran buat kali kedua berturut-turut dengan menumbangkan kelab Jepun, Machida Zelvia 1-0. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here