Home Hiburan AKO MUSTAPHA KESAL NETIZEN PERTIKAI LAPORAN POLIS KES BULI ANAK

AKO MUSTAPHA KESAL NETIZEN PERTIKAI LAPORAN POLIS KES BULI ANAK

65
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pelakon Ako Mustapha meluahkan rasa kesal apabila terdapat pihak mempersoalkan tindakannya membuat laporan polis susulan kejadian buli yang menimpa anaknya, Mikael Iskandar Mustapha, 10, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di media sosial, Ako menjelaskan tindakan itu diambil demi memastikan anaknya menerima rawatan sewajarnya selepas mengalami kecederaan fizikal.

“Adakah mereka yang memberi komen ini mengenali anak saya? Apabila dia dibuli, saya tidak menyerang kanak-kanak terbabit mahupun ibu bapa mereka.

“Namun, saya melihat kesan lebam dan bekas tapak kasut pada perut anak saya. Selepas ditanya, dia menceritakan kejadian yang berlaku sebelum kami membawanya ke klinik,” katanya.

Menurut Ako, laporan polis dibuat atas arahan pihak hospital bagi membolehkan proses pemeriksaan dan rawatan lanjut dijalankan.

“Pihak klinik meminta kami merujuk kes ini ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor meminta laporan polis dibuat terlebih dahulu sebelum kes boleh diterima.

“Sebab itu kami membuat laporan polis kerana matlamat utama adalah untuk memastikan anak diperiksa dan dirawat segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ako turut membidas segelintir netizen yang menyelar tindakannya mendedahkan perkara berkenaan di media sosial sehingga menjadi tular.

Katanya, dia mempunyai hak menggunakan platform media sosial miliknya, selain menyifatkan tindakan itu sebagai perkara biasa dalam era digital masa kini.

“Zaman sekarang semua orang ada media sosial. Individu bukan artis pun boleh tular. Jadi, tindakan kami berkongsi perkara ini adalah hak kami.

“Dalam semua hantaran, kami tidak menyebut nama kanak-kanak terbabit mahupun nama sekolah. Jadi, apa motif mereka menyerang anak saya?” katanya.

Berang dengan komen negatif yang dilemparkan, Ako turut mendedahkan akan menularkan semula komen tidak berhemah yang ditinggalkan di akaun miliknya.

“Suka sangat beri komen bukan-bukan. Sekarang saya akan tular pula komen kamu satu persatu,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Threads, Ako memaklumkan sedang mencari tenaga pengajar bagi membolehkan anaknya mengikuti pembelajaran di rumah.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas anaknya mengalami fobia dan trauma susulan dakwaan dibuli oleh lima murid di sekolah. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here