SUBANG JAYA: Memetik laporan menerusi Harian Metro penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mendedahkan suaminya, Nabil Mahir yang banyak membantu menguruskan anak-anak di rumah terutama ketika mereka masih kecil.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 33, berkata dia juga tidak pernah bawa anaknya keluar sendirian tanpa ditemani suami.
“Sejujurnya, kalau tak ada suami, saya tak pernah bawa anak-anak keluar rumah kerana memang tak berapa yakin.
“Lagi-lagi, masa anak kami baru dilahirkan, kebanyakan masa memang suami yang jaga di rumah.
“Tugas saya cuma menyusukan anak saja. Saya bangun untuk menyusukan anak dan selepas itu saya sambung tidur balik.
Urusan yang lain semua suami yang uruskan seperti tukar lampin dan tenangkan anak,” katanya ketika ditemui media di sini.
Ditanya sama ada itu perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin, kata penyanyi lagu Temberang itu, ia datang secara semula jadi daripada rasa tanggungjawab sendiri.
“Ini bukan perjanjian pun tapi saya berasa sangat bertuah kerana suami faham itu tanggungjawabnya juga untuk sama-sama menjaga anak-anak di rumah.
“Suami beritahu dia nak saya cukup rehat sebab pada pagi keesokannya dia kena pergi kerja dan saya pula ada komitmen lain. Jadi kami memang ikut giliran menjaga anak-anak.
“Kadang-kadang, saya nampak suami mengantuk dan saya tanya nak tolong ke tak, tapi dia kata tak apa. Dia kata ‘enjoy’ (terhibur) tengok anak, walaupun mengantuk.
“Suami juga berbual dengan anak walaupun kadang-kadang buat saya geram sebab anak pun tak jadi tidur,” katanya yang baru selesai menjalani tempoh berpantang anak ketiganya.
Untuk rekod, Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan anak ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu. – HMetro Online –
IMedikel TV






